Abdullah Lakukan Kesilapan Besar Ketepikan Perkenan Istana Negara

Oleh Ruhani Ahmad

aGelombang kuning yang menggelora secara aman di Kuala Lumpur pada 10 November 2007 adalah satu kebangkitan rakyat yang unik, mengandungi pelbagai mesej tersirat dan wajar dirungkai implikasinya kepada kelangsungan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di hari-hari terdekat ini.

Hakikatnya demikian kerana gelombang kuning telah membuktikan wujudnya satu anjakan strategik di kalangan rakyat jelata yang mula memasrahkan nasib dan masa depan mereka kepada Institusi Raja yang menjadi satu daripada tunggak dalam sistem pemerintahan Malaysia, iaitu sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Saya yakin para penasihat professional di Istana Negara yang memungkinkan kedatangan delegasi gelombang kuning pada 10 November 2007, sudah membuat kajian awal terhadap jangkaan wujudnya anjakan strategik seperti ini. Lantaran itulah permohonan delegasi gelombang kuning diperkenankan. Dan, perkenan itulah yang telah dijadikan pengukur untuk memastikan sejauh manakah kebenaran jangkaan tersebut. Kalau tidak, mana mungkin Istana Negara secara senang-senang sahaja bersetuju menerima kedatangan delegasi gelombang kuning!

Kedaulatan Negara

Hakikat ini akan jelas kelihatan jika semua pihak, termasuk Abdullah, sedia menginsafi bahawa matlamat gelombang kuning adalah lebih besar daripada tuntutan mewujudkan suatu sistem pilihan raya yang lebih adil dan saksama.

Gelombang kuning adalah manifestasi suara hati rakyat jelata yang hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah. Gelombang kuning adalah cetusan hati nurani rakyat jelata yang beranggapan Abdullah adalah Perdana Menteri yang lemah. Gelombang kuning adalah cermin realiti yang memancarkan imej-imej kebimbangan rakyat jelata terhadap kedaulatan negara dan maruah bangsa yang makin jelas tercabar di era kepimpinan Abdullah.

Gelombang Rakyat

b Gelombang kuning adalah gelombang rakyat. Oleh sebab itu, bukan semua rakyat jelata yang menyertai gelombang kuning jadi ahli organisasi yang menuntut pilihan raya umum yang adil dan saksama. Di kalangan mereka adalah ribuan pesara perkhidmatan awam peringkat tinggi, terutama sekali daripada sektor keselamatan dan pertahanan. Di kalangan mereka adalah anak-anak muda tanpa parti yang cukup prihatin dan sensitif terhadap kelangsungan negara-bangsa. Di kalangan mereka adalah golongan professional muda. Di kalangan mereka adalah insan-insan akar umbi yang sudah mula loya dengan karenah, perilaku dan keangkuhan segelintir anak muda di sekeliling Abdullah. Di kalangan mereka adalah ahli-ahli UMNO dan lain-lain komponen Barisan Nasional (BN) yang rindukan pembelaan. Di kalangan mereka adalah ribuan warga Johor yang mahu membawa mesej bahawa projek mega Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) adalah mempertaruhkan kedaulatan dan keselamatan negara. Sebab itulah perarakan gelombang kuning tidak membawa apa-apa sepanduk politik, melainkan Jalur Gemilang!

Lantaran itu, Abdullah memang sangat-sangat tersilap perkiraan bila kerajaannya enggan memberikan permit kepada gelombang kuning. Lantaran itu, adalah tidak bijaksana bila RTM bertindak secara pre-emtif untuk memberikan persepsi umum bahawa gelombang kuning adalah demonstrasi jalanan yang liar, ganas dan boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Kini gelombang kuning sudah menggelora. Tiada satu pun harta benda yang dimusnahkan oleh para peserta. Kini gelombang kuning sudah melanda. Tiada seorang pun anggota pasukan keselamatan yang tercedera, waima akibat dibaling dengan sebutir pasir sekalipun.

Dilemma Pemerintah

Tidakkah hakikat ini membuktikan usaha pre-emtif RTM sebelum ini adalah semberono dan tidak bijak? Tidakkah hakikat ini membuktikan kenyataan Abdullah pada petang 9 November 2007, kononnya gelombang kuning adalah demokrasi jalanan, sebagai kata-kata emosi yang tidak seharusnya dinyatakan oleh seorang pemimpin besar?

Lantas, siapakah yang terbukti bijaksana dan siapakah pula yang terbukti tidak bijaksana menerusi pancaran hakikat ini? Siapakah yang kini dalam dilemma bila prinsip kedua Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara, tidak dipandang serius oleh pemerintahan Abdullah?

Memang ada juga insiden di mana pihak pasukan keselamatan bertindak ke atas para peserta gelombang kuning. Mereka bertindak begitu atas arahan dan perintah. Mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab. Tetapi, hakikat bahawa para peserta gelombang kuning tidak liar dan tidak ganas seperti yang mahu digambarkan oleh RTM, akhirnya melembutkan juga jiwa dan hati anggota pasukan keselamatan!

Kesilapan Besar

Saya yakin para peserta gelombang kuning tidak akan terus menerus mempertikaikan tindakan pasukan keselamatan. Sebaliknya, saya pasti mereka mempersoalkan di manakah kebijaksanaan kepimpinan Abdullah? Di manakah kebijaksanaan Menteri Penerangan?

rBerita gelombang kuning sudah diketahui sejak hampir dua bulan sebelumnya. Kenapakah tidak disiasat, tidak dikaji dan tidak diselidik menggunakan seluruh mekanisma perisikan yang ada dalam kerajaan? Mungkinkah tindakan-tindakan seperti tembakan gas pemedih mata ke dalam masjid, bekalan air ke masjid dipotong sehingga menyebabkan kesukaran kepada mereka yang mahu menunaikan solat Zohor, rakyat jelata berbaju kuning ditahan di sekatan jalanraya, akan berlaku sekiranya kerajaan bijaksana dalam persiapannya mengendalikan kemaraan gelombang kuning?

Bagaimanapun, apa yang telah berlaku bukannya silap pasukan keselamatan. Apa yang telah berlaku adalah kesilapan besar kepimpinan Abdullah. Paling besar kesilapannya ialah permit tidak diberikan walaupun pihak Istana Negara sudah berkenan menerima kemaraan gelombang kuning pada 10 November 2007.

Perkecilkan Raja

Mengapakah jadi begini? Adakah Abdullah sengaja mahu mencabar Institusi Raja Berperlembagaan atas sebab-sebab tertentu yang mungkin sentiasa menghantui beliau selama ini? Adakah kenyataan Abdullah bahawa beliau “pantang dicabar” sebenarnya ditujukan khas kepada Istana Negara? Atau, apakah tindakan membelakangkan perkenan Istana Negara ini terjadi kerana Abdullah memang sebenar-benarnya seorang Perdana Menteri yang lemah?

Lantaran itu, apakah tindakan selanjutnya oleh Abdullah setelah kebijaksanaan beliau tercabar oleh gelombang kuning? Apakah tindakan Abdullah bila kini terbukti bahawa beliau seolah-olah memperkecil-kecilkan perkenan diraja terhadap kemaraan gelombang kuning ke Istana Negara? Tidakkah Abdullah insaf bahawa label “haram” yang beliau berikan kepada gelombang kuning sebenarnya telah terlebih dulu dan secara tidak langsung “dihalalkan” oleh perkenan diraja yang sudi menerima kedatangan delegasi gelombang kuning?

Abdullah Berundur?

Saya harap Abdullah akan mengarahkan seluruh penasihatnya meneliti reaksi rakyat jelata berikutan gelombang kuning. Kutip, baca dan analisalah seluruh komen menerusi blog dan portal berita. Buatlah perkiraan dan perhitungan sendiri bila undurada komen-komen yang menggesa Abdullah supaya segera berundur secara terhormat. Kajilah sendiri bila ada komen mengatakan gelombang kuning menghantarkan isyarat serius kepada Kabinet Abdullah. Fahamilah maksudnya bila ada komen mencadangkan ahli-ahli akar umbi UMNO pula perlu melancarkan gelombang merah untuk menyampaikan suara mereka kepada Abdullah. Garaplah apa tafsirannya bila ada komen yang menyeru gelombang kuning menyelamatkan Malaysia daripada Sindrom Khairy.

Saya sendiri sudah melancarkan kempen supaya rakyat jelata Malaysia mengenakan pakaian berwarna kuning pada setiap Sabtu mulai hujung minggu ini. Saya lancarkan kempen ini kerana warna kuning perlu dijadikan simbol kasih dan sayang rakyat jelata Malaysia kepada Raja dan Negara.

Raja Dan Negara

Tindakan ini amat bersesuaian dengan prinsip kedua Rukun Negara di mana kita mengikrarkan kesetiaan kita kepada Raja dan Negara pada setiap masa. Saya juga lancarkan kempen ini untuk memperingati Sabtu 10:11 atau Sabtu 10 November 2007, sebagai tarikh bermulanya gelombang kuning di negara ini.

Pada waktu yang sama, kuning adalah warna yang melambangkan kebijaksanaan, persahabatan dan kesetiakawanan. Ini bermakna warna kuning adalah warna kebijaksanaan rakyat jelata Malaaysia dalam memperjuangkan kesejahteraan, keadilan dan kesaksamaan. Ini bermakna, kuning juga adalah warna solidariti, perpaduan dan permuafakatan di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Untuk makluman Abdullah, kempen ini Insya Allah merebak dan berjaya. Saya menerima sokongan sebilangan besar bloggers yang dilabelkan sebagai penembak curi, goblok atau penyanyi karaoke. Lepas ini, apa pula label yang akan diberikan bila bloggers berkempen supaya rakyat Malaysia berpakaian kuning pada setiap Sabtu sebagai simbol cintakan Raja dan Negara dan sebagai manifestasi kepada solidariti, kesetiakawanan, perpaduan dan permuafakatan di kalangan sesama rakyat? Adakah selepas ini kerajaan Abdullah akan mewartakan supaya warna kuning diharamkan dari dipakai oleh rakyat Malaysia pada setiap masa dan sepanjang masa?

Apa Kesudahannya?

Akhir kata, saya ulangi sekali lagi. Abdullah membuat kesilapan besar bila beliau enggan mengarahkan polis memberikan permit kepada gelombang kuning. RTM membuat kesilapan yang menjejaskan kebijaksanaannya bila ia memaparkan secara pre-emtif kilp video kononnya gelombang kuning adalah ganas dan liar.

Kini gelombang kuning sudah mula membibitkan keresahan dan kecelaruan di kalangan pemerintah. Abdullah wajarlah bersedia daripada sekarang untuk merungkai seluruh kemungkinan apa yang akan terjadi pada hari-hari terdekat ini. Fikirkanlah apa akan terjadi kalau tuntutan terhadap mewujudkan sistem pilihan raya yang adil dan saksama, diperkenan untuk dilaksanakan. Mungkinkah pilihan raya umum ke-12 akan ditangguhkan? Fikirkanlah kalau kempen berpakaian kuning setiap Sabtu merebak luas ke seluruh tanahair. Siapakah yang akan berputih mata? Fikirkanlah jika gelombang kuning merangsang suatu kebangkitan suara rakyat secara menyeluruh. Apa akan terjadi? Fikirkanlah!!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: