GEMPAR: Kg Berembang: Fail kes ‘hilang’

Oleh Fauwaz Abdul Aziz
Malaysiakini

aSeramai 69 penduduk Kampung Berembang, Ampang yang sedang menunggu keputusan mahkamah sama ada sebuah pemaju boleh menuntut pemilikan tanah mereka, diberitahu bahawa fail kes mereka “telah hilang”.

Berikutan itu, mereka diminta datang semula pada 14 Disember untuk mendengar keputusan yang akan dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Shah Alaim Mariana Yahya.

Permodalan Nasional Selangor Bhd (PNSB), melalui rakan usahasamanya, Perspektif Masa Sdn Bhd, telah memohon untuk mendapatkan pemilikan terus tanah terbabit.

Keputusan hari ini boleh dibuat tanpa perlu mendengar perbicaraan penuh.

Penduduk terbabit memohon untuk mengetepikan permohonan tersebut atas alasan mereka mempunyai isu-isu untuk dibangkitkan berhubung dakwaan PNSB bahawa ia adalah pemilik tanah terbabit.

Penduduk Kampung Berembang menegaskan, mereka telah tinggal di kawasan tersebut sejak tahun 1960-an dengan kebenaran kerajaan negeri Selangor dan oleh itu, mereka seharusnya dibayar pampasan apabila tanah tersebut diambilbalik untuk tujuan pembangunan.

Menurut mereka, sebuah cawangan Umno telah ditubuhkan di Kampung Berembang di samping mereka diberikan kemudahan bekalan elektrik, sebuah surau, dewan serbaguna, dan kemudahan lain, bagi menyokong tuntutan untuk mendapatkan pampasan.

Pada 17 November tahun lalu – seminggu selepas notis pengusiran diserahkan kepada penduduk terbabit – anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), polis anti-rusuhan dan anggota Rela telah merobohkan rumah mereka di Kampung Berembang.

Walaupun rayuan dibuat, kerja-kerja perobohan tersebut dilakukan pada 20 November dan 30 November 2006. Pada 7 Mac 2007, pemaju swasta telah meratakan kawasan kediaman yang berusia lebih 30 tahun ini.

Penduduk juga telah memfailkan saman terhadap MPAJ kerana mendakwa notis pengusiran terhadap mereka adalah tidak mengikut Ordinan Darurat (Pembersihan Setinggan) 1969.

Laporan polis

Selepas menunggu selama lebih dua jam pagi tadi, peguam mereka, Edward Soh dipanggil ke kamar Mariana pada kira-kira jam 10.30 pagi, bersama dengan peguambela Perspektif Masa.
bKira-kira 15 minit kemudiannya, Soh muncul dan memberitahu mereka bahawa keputusannya telah ditangguhkan hingga bulan Disember kerana “fail kes tersebut tidak dapat dikesan” di pejabat pendaftaran mahkamah.

Beberapa orang penduduk yang terperanja mendengar perkara tersebut, tidak faham bagaimana fail mahkamah boleh tersalah letak semudah itu.

“Bagaimana ini boleh berlaku? Bagaimana fail boleh hilang begitu sahaja?” soal seorang penduduk.

“Saya tidak tahu…tidak tahu,” jawab Soh.

“Beliau (Mariana) belum membacanya lagi. Mereka masih mencarinya,” tambahnya.

Jurucakap penduduk Kampung Berembang, Noralizan Ali, 44, juga memandang berat terhadap penjelasan mahkamah itu.

“Mengapa mereka kata mereka tidak dapat mencarinya? Jika mereka perlu membuat keputusan pada hari ini, mereka sepatutnya sudah lama ada fail tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

“Tak logik. Tak logik langsung,” kata seorang lagi penduduk.

Sementara itu, Setiausaha Agung penaja Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, menimbang untuk membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Katanya, bagaimana perkara seumpama itu boleh berlaku dalam sistem mahkamah yang dianggap oleh kerajaan sebagai bertaraf ‘kelas pertama’.

“Begitu ramai penduduk yang hadir hari ini. Mereka tinggal di kemah di bawah talian wayar elektrik berkuasa tinggi sejak rumah mereka dirobohkan Mac lalu. Sekarang mereka terpaksa berdepan dengan masalah lebih lama kerana fail kes ‘hilang’,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: