Dari Pasar Budaya Ke Istana Negara

Oleh Khairul Faizi Ahmad Kamil

Kira-kira pukul 12.15 tengahari tadi saya dihubungi oleh wartawan Malaysiakini untuk bertanyakan bagaimana peristiwa kumpulan penyokong BERSIH dapat melepasi halangan Polis untuk tiba di masjid negara.

Saya juga telah membacaberita daripada Malaysiakini yang bertajuk Bagaimana 40,000 meloloskan diri dari kepungan polis? dan Bersih plays cat-and-mouse with cops.

Awalnya, saya tidak berhajat untuk menulis tentang perkara ini tetapi setelah membaca berita di atas, saya rasa perlu untuk saya menggambarkan dengan lebih jelas tentang kejadian tersebut. Saya telah diamanahkan untuk memulakan perhimpunan di Pasar Budaya (CM) yang menempatkan para penyokong BERSIH daripada negeri-negeri Selatan tanahair bersama sdr Amiruddin Shari, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Inilah pertama kalinya saya diamanahkan untuk memimpin himpunan aman di sekitar lembah Klang. Walaupun ianya bukanlah satu perkara yang luar biasa tetapi bukannya di Kuala Lumpur. Sekadar untuk berdemonstrasi adalah perkara biasa tetapi bukannya untuk memimpin. Tapi tak apalah, sdr Amiruddin tentu dapat melaksanakan tugas ini nanti.

Kira-kira pukul 1.00 petang sdr Amiruddin menghantar SMS untuk memaklumkan saya supaya meneruskan amanah memimpin kumpulan di CM kerana beliau telah dihalang oleh pihak polis. Keadaan yang sukar menyebabkan beliau mungkin tidak akan ke CM.

Habislah aku!” bisik hati saya.

Saya bergegas keluar daripada Bangunan PAS yang terletak di Jalan Raja Laut menuju ke CM menaiki LRT daripada stesyen Sultan Ismail dan turun ke Stesen Masjid Jamek. Di kawasan Masjid Jamek kelihatan ramai penyokong BERSIH telahpun berkumpul sambil menantikan arahan.

Apabila tiba di CM saya dapati telah ramai penyokong yang telah berlegar-legar untuk menunggu arahan untuk bergerak. Bendahari PAS Johor, Haji Mustapha telah bersama saya untuk membincangkan strategi yang perlu dibuat.

Saya masih mengharapkan agar Amiruddin dapat meloloskan diri supaya dapat tiba di CM.

Pada awalnya, saya mendapat arahan supaya memulakan majlis himpunan tersebut di kawasan pejalan kaki yang terletak di antara bangunan CM dan bangunan perniagaan yang terletak disebelahnya (Ada KFC)

Lebih kurang pukul 2 petang pasukan polis telah mula ramai dan mereka membuat satu barisan untuk menghalang penyokong BERSIH daripada mengadakan perarakan menghala ke arah dataran Merdeka. Kesemua polis tersebut berdiri menghala ke arah Perhentian Bas Klang.

Saya telah memberikan arahan kepada beberapa pemuda PAS Johor untuk mencuit kesemua penyokong BERSIH supaya bergerak perlahan-lahan secara berasingan melalui jalan koridor di hadapan bangunan tersebut dan akhirnya sebahagian besar daripada penyokong BERSIH berkumpul pula dibelakang polis yang berdiri.

Kebetulan hujan turun dan kesemuanya lari mencari tempat perlindungan. Saya berbincang dengan sdr Tian Chua apakah strategi seterusnya memandangkan hujan telah turun dengan lebatnya. Atas nasihat beliau, saya mengarahkan kesemua penyokong untuk berpindah ke Annexe Central Market.

Saya menghubungi Datuk Dr Mahfodz supaya bergerak ke lokasi terbaru tersebut. Saya masih tertunggu-tunggu kehadiran Sdr Amiruddin Shari yang masih tidak dapat melepasi halangan pihak keselamatan.

Bingung juga rasanya apakah yang patut saya lakukan kerana hujan semakin lebat dan saya sememangnya tidak begitu memahami apa yang sepatutnya dilakukan. Sdr Tian Chua mencadangkan agar kumpulan daripada CM bergerak daripada lokasi setelah hujan reda tetapi tidak dipersetujui oleh bahagian keselamatan BERSIH.

Saya pula masih teragak-agak untuk memulakan majlis himpunan kerana penyokong masih belum dapat dihimpunkan di kawasan tersebut. Ketika itu, saya dapat melihat kelibat beberapa pimpinan daripada pelbagai pihak seperti Datuk Dr Mahfodz (Pesuruhjaya PAS Johor), Ust Abd Ghani Abd Rahman (Pesuruhjaya PAS Melaka), Puan Irene Fernandez (MPT Keadilan), Dr Zaliha Mustafa (Naib Ketua Wanita Keadilan Pusat), Sdr Tan Hong Pin (Setiausaha DAP Johor), sdr Jalil Adam (Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor), sdr Adly Zahari (Exco DPP Pusat), Cik Elizabert Wong (Ketua Penerangan Wanita Keadilan) dan ramai lagi yang tak tersebut oleh saya.

Saya memulakan majlis setelah bahagian keselamatan memaklumkan kesemua penyokong BERSIH daripada lokasi yang lain telah memulakan perarakan. Ucapan pertama saya.

”Saudara dan saudari sekelian, saya membawa satu berita yang cukup gembira pada petang ini. Yang Mulia Yang Di Pertuan Agong telah bersetuju untuk menerima memorandum yang akan kita serahkan pada petang ini!”.

Laungan ”Daulat Tuanku” diiiringi dengan Laungan ”Allahu Akbar” ”Reformasi” dan ”Hidup Rakyat” kedengaran berulang-kali tanda kegembiraan para penyokong kerana Yang Di Pertuan Agong membuka ruang yang diimpikan oleh semua.

Saya menyambung lagi ;

”Himpunan ini adalah himpunan aman yang tidak menggunakan kekerasan. Kami adalah rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan”.

”Saya minta agar pihak polis tidak menghalang atau menimbulkan provokasi kerana ia sesungguhnya akan dimurkai oleh Yang Di Pertuan Agong”

Dan banyak lagi yang saya katakan tetapi tidak perlulah saya coretkan kesemuanya.

Perarakan dimulakan dengan Puan Irene Fernandez berada dihadapan. FRU cuba untuk menghalang kami daripada terus bergerak ke arah dataran merdeka. Bila dihalang kami disebelah kiri jalan, kami bergerak ke arah kanan jalan, bila FRU bergerak ke arah kanan jalan, kami pun bergerak ke arah kiri jalan. Ibaratkan seperti sedang bermain ragbi, kami terus bergerak dalam satu kumpulan ke hadapan merempuh halangan FRU sehinggalah kami tiba ke lokasi yang terletak lebih kurang 15 meter daripada Dataran Merdeka (DM).

Ketika itu, kami sudah tidak berupaya untuk merempuh benteng FRU yang cukup gagah dan kental kerana bilangan mereka sudah terlalu ramai. Ketika itu, sdr Tian Chua, Dr Mahfodz dan Ust Abd Ghani telah hilang daripada kumpulan. Saya dan rakan-rakan lain semacam mati akal kerana rundingan dengan FRU untuk membenarkan kami meneruskan perjalanan telah gagal.

Saya cuba hubungi ketua sdr Amir Shari dan rakan-rakan lain tetapi gagal. Dalam kebingungan tersebut, saya dimaklumkan bahawa terdapat satu jalan kecil yang membolehkan kita keluar daripada halangan tersebut untuk menuju ke masjid negara dan seterusnya ke Istana negara. Saya dapati bahawa jalan itu tidal dikawal dengan rapi oleh pihak Polis.

Bagi mengelakkan FRU menyedari bahawa saya sedang menyusun langkah untuk mengeluarkan kesemua penyokong daripada sekatan tersebut, beberapa teman saya arahkan untuk terus bercakap, berteriak, melaung dan yang sewaktu dengannya bagi menumpukan pandangan mereka terhadap provokasi tersebut.

Sdr Azlan (AMK Johor) terus berceramah sambil sesekali menyanyikan lagu ”We Want We Want Justice!” Seorang kakak daripada Senawang yang membawa anak kecilnya turut memeriahkan suasana tersebut dengan ceramah dan syarahan yang cukup menikam kalbu.

Pada masa yang sama saya bergerak bertemu dengan para penyokong BERSIH dengan mengarahkan mereka ‘mencuit’ tiga orang sahabat yang lain untuk keluar daripada kumpulan dan bergerak melalui jalan yang telah saya nyatakan tadi.

Secara beransur-ansur, para penyokong BERSIH keluar daripada kepungan tersebut sehinggalah kami tinggal seramai lebih kurang 30 puluh orang sahaja!. Apabila saya rasa strategi tersebut telah berjaya, saya terus membuat pengumuman.

”Saudara sekelian, saya ingin memaklumkan bahawa sebahagian bersar daripada kumpulan kita telahpun selama sampai ke Istana Negara. Hanya kita sahaja seramai 30 orang ini yang tinggal bagi mengaburi mata. Pihak polis jangan tanya saya macamana rakan-rakan kami boleh tiba di istana.”

Seperti baru dipukau, FRU yang berada dihadapan kami terkejut dengan pengumuman tersebut. Saya yakin dan percaya mereka tertanya-tanya bagaimana mereka boleh terlepas pandang.

Saya berbincang dengan Puan Irene Fernandez untuk strategi terakhir untuk membolehkan kami keluar daripada halangan tersebut. Kami bergerak semula menghala ke arah CM dan terus berpecah. FRU yang tadinya menghalang kami tidak berbuat apa-apa dengan membiarkan kami lalu sahaja.

Akhirnya, kami daripada kumpulan 30 orang yang terakhir selamat juga sampai di hadapan Istana Negara. Di sana, saya bertemu semula dengan sdr Azlan, Puan Irene dan kakak daripada Senawang dengan anak kecilnya.

Sehingga ke saat saya menulis ini, saya masih tidak dapat melupakan saat-saat yang paling menarik tersebut. Mungkin ia tidak menarik jika dibandingkan dengan lokasi-lokasi yang lain namun ia tetap menjadi kenangan kepada saya.

Apapun, segalanya adalah daripada pertolongan ALLAH. Dialah yang membuka ruang dan peluang untuk kita mencapai kemenangan dan kejayaan..
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Pusat
019-7701830
http://minda-kembara.blogspot.com/
12 November 2007

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: