Himpunan 100,000: Ahli Parlimen Pun Bertelingkah Sesama Sendiri!

Oleh MSO

SEWAKTU sedang menunggu seorang kawan (ahli Parlimen) di coffee house Hotel Hilton dekat KL Central tengah hari tadi tiba-tiba saya ternampak seorang ahli Parlimen yang mengambil bahagian di parlimen semalam yang membantai himpunan raksasa 100,000, Sabtu lalu.

Mulanya saya tidak ingin bersalam dan menengurnya, tetapi kerana dia sudah ternampak saya, saya menghampirinya. Rasa marah kepadanya kerana sikap buta kayu dan tindakannya membantai secara sambrono mengenai himpunan itu masih meruap dalam hati.

“Hebat di parlimen semalam,” puji dan perli saya. Dia tersengeh dan memahami maksudnya. Bersamanya juga turut berada seorang ahli parlimen. Dia ini cool sahaja tidak berkata apa-apa dan tidak membuat apa-apa ulasan terhadap himpunan berkenaan. Mungkin dia benar-benar tidak tahu, ataupun tahu tetapi tidak suka menyembunyikan kebenaran.

“Kenapa Datuk bantai kuat sangat,” tanya saya. “Datuk tahukah apa yang berlaku di himpunan berkenaan, secara jujur?” soal saya lagi.

“Tidak boleh ia bahaya. Tidak boleh. Kerana demonstrasi itu menyebabkan para peniaga kerugian, mereka terpaksa kena tutup kedai,” beliau memberi alasan. Air yang hendak dihirup diletakkan semula. Dia nampak berminat untuk membicara atau menyambung perbicaraan mengenai himpunan itu di luar dewan.

Bentuk gelas

Saya melabuh punggung di sisinya, sambil itu melihat gelas-gelas yang berselerakan atas meja. Diam-diam saya mencari-cari sesuatu, memerhati bentuk gelas dan apakah air yang dihidang atas meja kecil di hadapan kami.

“Himpunan semalam berlangsung dengan baik. Tidak ada tumpah darah pun, ….” kata saya memberi maklumat. Belum habis saya menjelaskan tiba-tiba ahli Parlimen yang berjanji dengan saya muncul dan terus menyampuk; “apalah Perdana Menteri, penakut sangat, patut ..dibiarkan sahaja la.”

“Dia orang tidak minta permit, macam mana nak biarkan,” kata ahli parlimen yang mula-mula tadi. Darah saya mula menyirap naik muka bila beliau sebut fasal permit. Nampaknya si ahli parlimen ini cuba hendak menegangkan benang basah. Dia bercakap sesuatu yang beliau tidak tahu. Kabur maklumat!

“Dia orang ada minta permit, tetapi tidak diluluskan!” balas ahli parlimen yang berjanji dengan saya itu. Nampaknya dia lebih advance dan ikhlas dari ahli parlimen berkenaan. Ahli parlimen berkenaan seakan tidak mahu menerimanya dan cuba mengelak dengan memberi alasan lain.

“Tak ada… tak ada minta!” tekannya serba salah.

“Ada, I tahu… lama dah dia orang minta. Dua bulan lalu lagi…bagi I tidak patut. Kalau polis lepaskan, kan senang, tak riuh randah…,” sambung ahli Parlimen yang berjanji dengan saya membela himpunan berkenaan.

Ahli parlimen itu, terkial-kial. Sementara rakannya di hadapan tersengih sahaja, memerhati dan mendengar. Dia ni memang bersikap begitu, tenguk dan renung sahaja, tidak berani masuk campur. Di Parlimen pun memang begitu jarang bangkit dan bangun bercakap.

“Tidak adil…polis tidak adil, dan tidakkkk profesional!” tekannya lagi. “Kalau nak bodek pun jangan nampak sangat,” tukas ahli parlimen yang berjanji dengan saya itu lagi. Tukasan itu sinis menyebabkab ahli parlimen berkenaan jadi serba salah dan mukanya merah.

“Tidak adil apa, Datuk…!” belum habis ahli Parlimen itu berkata ahli Parlimen yang berjanji dengan saya terus menjawab; “apa adilnya, kalau Khairy buat demo, dilepaskan begitu saja. Kalau nak tangkap, tangkap semua, jangan pilih bulu. Jangan bersikap double standard,” katanya lagi kali ini agak serius.

“Ok I ada meting dengan Sayuti, lapar nak berbahas tidak boleh..” ahli parlimen itu mengelak.

“Tapi demon kali ini aman Datuk, tak ada keganasan dan provokasi antara polis dan orang ramai,” saya menenangkan keadaan dan bangkit untuk pindah tempat.

“Nak berbahas bukan bila perut kenyang, tetapi kena ada idea dan fikiran…” balas si ahli Parlimen itu sedikit kesal dan malu. Nampak dia kurang berpuas hati dengan hujah yang dilemparkan oleh ahli parlimen yang berjanji dengan saya itu.

“Sudah… saya nak makan dulu, nanti kita sambung semula,” balas ahli parlimen yang berjanji dengan saya itu dan kami berlalu, duduk di meja tidak berapa jauh dari kedua ahli Parlimen itu.

Menggeleng kepala

Sebaik saya dan ahli Parlimen itu melabuhkan punggung, belum pun order makanan, ahli Parlimen ini menggeleng kepala, sedikit kesal dengan telatah ahli Parlimen berkenaan dan juga perdana menterinya dan polis. Katanya; “PM bodoh kerana menghalangkan himpunan berkenaan. Kalau saya, saya akan lepaskan apa nak risaunya, mereka nak sampai memorandum, biarkan lah…”

“Inilah negara kita keadaan dan realiti negara kita. Umno pun sudah karut sangat dah. Sudah tidak boleh diharap lagi. Saya ni terus terang kalau saya tidak setuju saya kata tidak setuju saya tidak mengangguk tidak tentu fasal. Bagi saya Umno sudah karutlah, Ti..” tukas dan tekannya lagi marah dan geram.

Saya hanya diam saja. Memang dia ini terkenal dengan sikap kontroverisnya. Dia akan kritik tidak kira siapa. Baginya sesiapa yang bertindak tidak mengikuti lunas-lunas sewajarnya akan dikritik tidak kira siapa orang itu. Sebagai seorang yang menghormati undang-undang beliau akan melihat apakah tindakan seseorang itu menepati undang-undang atau tidak. Kalau ia menyeleweng ia akan ditentang tidak kira siapa.

Pemikiran ahli parlimen ini juga liberal, terbuka. Baginya manusia dilindungi prinsip keadilan mengikuti akal manusia. Apa lagi dalam politik demokrasi yang ada rukun-rukunnya, manusia (pemimpin) harus berpegang kepada rukun itu. Jika rukun dan prinsip itu dilanggar, maka orang itu tidak perlu dihormati lagi.

Baginya larangan ke atas himpunan itu sebagai satu pencabulan rukun-rukun dan prinsip demokrasi yang tidak sepatutnya berlaku. Ia melanggari hak-hak yang dibenarkan oleh perlembagaan. Tetapi kerana rasa hormat manusia ke atas prinsip itu tidak ada lagi, kerana mereka suka merogol, menjahanamkannya mereka akan lakukan apa saja asalkan mereka senang dan mereka menang.

“Bagi saya politik seperti ini tidak ada maruah langsung. Dan inilah yang sedang berlaku dalam negara kita specialnya apa yang berlaku dalam Umno. Umno karut!” jelasnya penuh kejengkilan sambil menjebek mulut tanda benci.

Selepas makan beberapa sandwich dan minum green tea kami berpisah. Dalam perjalanan pulang saya tertanya apa yang dikehendaki ahli Parlimen berkenaan sehingga beriya membuat temu janji. Saya kira beliau nak tanya soal pilihan raya, tetapi tidak pula perkara itu dicakapnya. Lama baru saya faham yang beliau hendak mendapat maklumat atau pandangan saya berhubung himpunan raksasa 100,000 kelmarin itu. Untuk apa?

Kurang pasti pula, mungkin untuk dia jadikan modal di Parlimen kelak. Harap-harapnya begitulah bila ada lagi ‘penjaga rumah kecil di belakang rumah’ yang mendokong dan menungkat punggung Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan, ahli Parlimen ini akan bangkit dan menyuarakan kebenaran yang beliau nampak dan mempertahankan hak-hak rakyat dalam sebuah negara bernama demokrasi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: