Mengapa hanya Abdullah, Khairy sentuh isu 10 Nov di perhimpunan Umno?

Oleh Murtadza Ibrahim

aDalam tempoh lima hari Persidangan Agung Umno 2007 dengan 34 orang pembahas dalam tiga hari terakhir dan belasan pembahas dalam persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno sehari sebelum itu, hanya dua orang yang dibenarkan menyentuh isu perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November lalu.

Dua pemimpin Umno yang menyentuh isu himpunan 10 Nov itu adalah adalah Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Para pembahas lain tidak menyentuh langsung isu tersebut, sama ada mereka terlepas pandang atau mendapat arahan supaya hanya dua beranak itu sahaja boleh menyentuh isu ini.


Itulah hebatnya pemimpin Umno sekarang, yang dikuasai oleh Abdullah dan menantunya. Mungkin isu ini agak sensitif dan hanya mereka yang betul-betul hebat, seperti Khairy dan Abdullah, yang dibenarkan menyinggungnya dalam bentuk cabaran buat penganjur.

Dalam ucapan penggulungan di perhimpunan Pemuda, pada 6 Nov 2007, menantu Abdullah ini mengingatkan parti pembangkang supaya menggunakan gelanggang yang betul iaitu pilihan raya umum jika mahu melawan kerajaan, dan bukannya cuba menjadi hero dengan menganjurkan perhimpunan haram.

Hero dalam gelanggang

b“Saya cabar pembangkang jangan keluar di jalan raya, jangan cuba jadi hero di jalan raya, jangan buat seperti beruk di jalan raya. Kalau betul nak lawan, lawan dalam gelanggang sebenar … lawan seperti jantan dalam gelanggang sebenar … pilihanraya umum akan datang, kita lawan,” kata Khairy berapi-api, dengan penuh bersemangat.

Khairy juga meminta agar polis menangkap dan mengambil tindakan tegas terhadap rakyat yang bakal hadir di Dataran Merdeka pada 10 Nov lalu.

Kemudiannya, pada 9 Nov 2007, bapa mentuanya pula, Abdullah, semasa menggulung perbahasan telah menyebut, “saya pantang dicabar.”

“Mereka mencabar undang-undang dan peraturan. Mereka mencabar rakyat kerana rakyat mahu supaya negara ini aman, selamat dan stabil sepanjang masa. Itu yang dicabar dan bukan saya. Tetapi saya kata saya pantang dicabar,” tegas Abdullah sambil diberikan tepukan gemuruh oleh perwakilan yang sesetengah mereka mahu nama mereka disenarai sebagai calon dalam pilihanraya umum ke-12 nanti.

“Saya dukacita. Apakah mereka mencabar kerajaan dan kepimpinan? Sebenarnya yang mereka cabar yang mereka hendak ketepikan adalah undang-undang,” Presiden Umno yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu menambah, “jika benar kumpulan itu ingin membawa perubahan, mereka harus mengikut jalan yang betul iaitu menerusi pilihanraya.”

Tegasnya, “perubahan apa yang nak dibawa? Tunggu dalam pilihan raya , kita sama-sama hadapi tengok siapa yang menang. Apa nak takut pilihan raya.”

Abdullah dan Khairy senada dengan menyebut “tunggu” sahaja dalam pilihan raya umum apabila rakyat akan membuat pilihan. Bukannya seperti sekarang, yakni sebelum Parlimen dibubarkan, dengan menganjurkan “perhimpunan haram dan melanggar undang-undang”.

Dalam Perhimpunan Agung Umno 2007 ini, Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein pun tidak menyebut hal perhimpunan 100,000 rakyat ini. Begitu juga Ketua Wanita dan Puteri Umno.

“Arahan halus”

Dan yang lebih pelik, Timbalan Presiden sendiri, Najib Razak tidak menyebut langsung dalam hujah penggulungannya. Apatah lagi para pembahas lainnya.

Hishamuddin menyebut isu perhimpunan 100,000 rakyat ini apabila ditanya oleh para wartawan sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung Umno ini.

Dan baru sekarang beberapa pemimpin Umno termasuk Najib, Muhyddin Yasin dan Muhammad Mohd Taib mula menyebutnya selepas selesai perhimpunan rakyat ini dengan jayanya.

Mereka mungkin mendapat “arahan halus” atau sekadar menjawab pertanyaaan wartawan terhadap mereka selepas Abdullah menghadapi kesukaran untuk menjawabnya secara bersendirian.

Sememangnya inilah cara politik Abdullah, yakni “bekerja bersama saya” selepas beberapa isu yang beliau menghadapi kesukaran untuk menjawabnya. Abdullah mungkin masih sangsi dengan keupayaan menantunya untuk menjawab berterusan isu ini memandangkan asakan pembangkang dan rakyat semakin hebat dan berterusan.

Mungkin juga Abdullah pernah membaca tulisan Rustam A Sani yang menyebut “Khairy ini sekadar juara rempit” dalam sebuah akhbar tabloid beberapa bulan lalu.

Jika pembahas tidak mendapat arahan agar usah menyinggung isu perhimpunan 100,000 rakyat itu, mungkin juga para perwakilan sendiri tidak berminat untuk menyentuhnya kerana merasakan mereka tiada kena mengena dengan hal itu.

Ramai ahli-ahli Umno sebenarny risau dan bimbang dengan pelbagai isu yang lebih dekat dengan mereka, misalnya harga barangan keperluan yang mencanak naik atau isu-isu Melayu yang tidak ditangani dengan baik oleh Abdullah.

Perwakilan Umno sendiri merasakan Abdullah seperti tidak berkeupayaan untuk mempertahankan hak Melayu dan memberi peluang perniagaan kepada kontraktor kecil, dimana kebanyakan aktivis Umno bergantung rapat dengan peluang bisnes itu.

cRamai melihat kroni Abdullah yang berselindung di belakang Khairy terus mendapat projek demi projek sedangkan pihak lain dalam Umno sendiri hanya mendapat tulang. Justeru, bagi mereka isu himpunan 100,000 rakyat anjuran Bersih itu bukan menjadi masalah kepada mereka.

Atau mungkin juga ahli-ahli Umno di dalam dewan persidangan PWTC itu mahu melihat sejauh mana hebatnya Abdullah dan menantunya Khairu berdepan dengan isu-isu pembangkang, khususnya yang sedikit sebanyak membabitkan bekas TPM, Anwar Ibrahim.

Mereka telah menerima pelbagai spekulasi dan berkeadaan “tunggu dan lihat” mengenai persaingan politik antara Khairy, Anwar dan Abdullah sendiri.

Mereka juga sedang melihat sejauh mana kehebatan Anwar memimpin barisan pembangkang jika dibandingkan kedudukannya dalam Umno dahulu. Kerana itu, hampir mustahil pilihan raya umum akan diadakan selepas Anwar dibebaskan daripada label “bekas banduan” apatah lagi dengan mesej jelas disampaikan oleh himpunan 100,000 rakyat itu, bahawa potensi pembangkang tidak boleh diremehkan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: