Badan kehakiman kini korup, tidak lagi telus dan bebas – Tun Salleh

Oleh Intan Abdullah

aKUALA LUMPUR, 18 Nov (Hrkh) – Mutakhir ini, umum mengetahui bahawa badan kehakiman di negara ini sudah tidak lagi bebas dan telus dalam membuat sebarang keputusan terhadap sebarang penghakiman.

Hal ini adalah disebabkan terdapat campurtangan daripada badan pelaksana atau eksekutif iaitu anggota kabinet pemerintahan.

Implikasinya, banyak kes berprofil tinggi mengalami campurtangan yang serius daripada badan eksekutif tersebut menyebabkan ada pihak yang meragui ketelusan dan keadilan badan kehakiman tersebut.

Bagaimanapun, salah satu penyelesaian kemelut ini adalah campurtangan oleh kerajaan dalam memulihkan semula imej dan kredibiliti badan tersebut.

“Jika kerajaan boleh campurtangan dalam krisis kehakiman pada tahun 1998 yang menjadi punca kepada keadaan sekarang, (maka) kerajaan bertanggungjawab untuk campurtangan semula bagi membetulkan kerosakan tersebut,” kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas, ketika bercakap mengenai isu-isu kehakiman khususnya selepas pendedahan video rakaman perbualan Dato’ VK Lingam kepada kira-kira 2,000 yang hadir dalam satu forum undang-undang bertajuk, “Krisis Kehakiman – Bagaimana hendak membetulkannya?” anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) di Federal Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, para hakim tidak boleh merubah sendiri badan kehakiman kerana tanggungjawab itu terletak di tangan kerajaan.

Ini kerana pada 1988, sejarah telah merakamkan pindaan perlembagaan yang meninggalkan kesan pada hari ini, apabila kuasa badan kehakiman telah diletakkan kepada badan eksekutif (pelaksana) yang sekaligus menghakis kuasa badan kehakiman.

Tun Salleh ketika itu telah bertindak mempersoalkan pindaan tersebut yang membuatkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan tribunal khas untuk mendengar tuduhan salahlaku terhadap Tun Salleh.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung,Tan Sri George Seah dan Allahyarham Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh – yang memutuskan tribunal itu tidak sah di segi perlembagaan turut dipecat bersama Tun Salleh, selepas didapati bersalah atas tuduhan salahlaku oleh tribunal enam hakim itu, termasuk masing-masing seorang dari Singapura dan Sri Lanka.

Sesetengah pihak menganggap pemecatan hakim-hakim Mahkamah Agung itu (mahkamah tertinggi di negara ini pada ketika itu) yang kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan sebagai saat paling hitam dalam sejarah kehakiman negara.

“Sekiranya menurut definisi, kehakiman bermakna bebas, tidak korup dan berkecuali. Maka saya boleh katakan ia tidak wujud (di negara ini)…,” ringkasnya.

Tun Salleh kemudiannya menyebut beberapa langkah yang perlu diambil untuk memulihkan badan kehakiman kembali ke era kegemilangannya.

Katanya, langkah-langkah tersebut termasuklah menubuhkan sebuah suruhanjaya kehakiman untuk melantik dan menentukan kenaikan pangkat para hakim.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar memasukkan semula klausa kuasa kehakiman ke dalam perlembagaan untuk memberi kuasa semula kepada mahkamah.

“Tempoh perkhidmatan hakim mesti ditetapkan supaya mereka tidak bimbang untuk membuat keputusan, contohnya, perkhidmatan pesuruhjaya kehakiman secara kontrak dua tahun, tidak memboleh mereka melakukan tugas dengan bebas kerana mereka tertakluk kepada kenaikan pangkat atau ditamatkan perkhidmatan selepas tamat kontrak,”jelasnya.

Sementara itu, katanya,kaedah untuk menghentikan perkhidmatan para hakim yang tidak dapat menjalankan tugas atau atas alasan kesihatan perlu disemak semula.

Manakala, protokol hakim mesti diberi perhatian dan memberi anugerah kepada para hakim mestilah secara automatik apabila mereka memegang jawatan tertentu,tambahnya lagi.

Sementara itu seorang lagi ahli panel, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Shaikh Daud Ismail meminta rakyat turut sama bertindak bagi menangani krisis kehakiman.

Beliau menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap pentadbiran kerajaan sekarang khususnya dalam isu kehakiman menegaskan bahawa kerajaan yang ada tidak melakukan apa-apa untuk memulihkan krisis yang berlaku, bahkan ia memburukkan lagi keadaan.

Menceritakan pengalamannya bertemu dengan Perdana Menteri (ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk berbincang mengenai keadaan mahkamah yang semakin teruk, beliau berkata, “kita berbincang selama sejam, tetapi tiada apa yang dilakukan selepas itu,” ujarnya dalam nada kekecewaan.

Jelasnya walaupun terdapat Menteri Undang-undang yakni Dato’ Seri Nazri Aziz, beliau (Nazri) berkata kerajaan tidak boleh campurtangan dalam badan kehakiman dengan hanya menubuhkan sebuah suruhanjaya kehakiman.

“Menteri ini banyak cakap tetapi tak buat apa-apa,” katanya.

Selain Tun Salleh dan Shaikh Daud, dua panelis yang turut memberikan ucapan adalah Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Majlis Peguam, K Ragunath.

Turut kelihatan dalam majlis tersebut adalah AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Mohamed Hanipa Maidin.

Forum yang menarik perhatian golongan pengamal undang-undang itu turut mendapat perhatian serius kerajaan dengan kehadiran beberapa orang pegawai polis bagi memastikan kuota kehadiran hanya 2,000 orang sehingga memaksa selebihnya mengikuti forum tersebut dari luar. – mks.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: