Mohon Penjelasan Segera Isu Penyelewengan Dalam Projek Pembinaan Istana Negara

Oleh HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

 Merujuk surat saya mengenai mohon penjelasan isu penyelewengan dalam projek pembinaan Istana Negara yang bertarikh 21 Ogos 2007 bersamaan 8 Syaaban 1428 yang telah dihantar melalui serahan tangan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya sebagai wakil kepada Dato’ Seri. Sehingga kini sudah hampir 3 bulan masih belum ada jawapan secara bertulis daripada pihak Dato’ Seri ataupun pihak kementerian.

Saya amat berdukacita kerana Dato’ Seri dan Kementerian Kerja Raya tidak prihatin terhadap surat yang saya kemukakan bagi menjelaskan isu projek pembinaan Istana Negara. Ini menggambarkan sikap tidak profesional Dato’ Seri dan kementerian dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.


Oleh sebab itu, sekali lagi saya memohon penjelasan bertulis mengenai isu ini seperti surat yang dikemukakan sebelum ini. Di bawah ini, saya mengulangi 5 perkara penyelewengan yang perlu diperjelaskan ;

  1. Mengapa projek ini dibuat secara runding terus?
  2. Mengapa runding terus ini berlaku secara luar biasa?
  3. Mengapa runding terus dengan harga tawaran kontraktor yang terlalu tinggi?
  4. Kenapa rundingan harga dipercepatkan?
  5. Kenapa runding terus ini diberi kepada kontraktor tidak berdaftar dan bukan kelas A?

Saya mengingatkan kepada Dato’ Seri dan kementerian, sekiranya sekali lagi pihak Dato’ Seri gagal memberi penjelasan bertulis mengenai isu ini, maka saya beranggapan Dato’ Seri cuba menyembunyikan sesuatu daripada saya dan rakyat serta ini membuktikan bahawa Dato Seri mempunyai kepentingan peribadi dan agenda tersendiri dalam projek ini.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS Pusat
Bekas Ahli Parlimen Malaysia


YB Dato’ Seri S Samy Vellu,
Menteri Kerjaraya,
Jalan Sultan Salahuddin,
KUALA LUMPUR.

YB Dato’ Seri,

Surat Mohon Penjelasan Isu Penyelewengan Dalam Projek Pembinaan Istana Negara

Merujuk kepada perkara di atas, bukanlah saya bermaksud untuk menderhaka kepada Tuanku SPB Yang di-Pertuan Agong, bahkan jauh sekali daripada mencemarkan maruah dan daulat Raja Berperlembagaan dalam isu ini.

Tetapi surat mohon penjelasan ini saya kemukakan kerana ia telah menjadi buah mulut rakyat, bukan membantah pembinaan Istana Negara yang baru, sebaliknya masalah ketelusan dan integriti dalam proses pembinaannya.

Sebagai rakyat yang setia kepada Raja, saya berasa bertanggungjawab untuk menegur kerajaan dalam soal ini demi memelihara institusi Raja Berperlembagaan, melindungi kepentingan rakyat jelata dan memastikan khazanah negara tidak dibazirkan oleh urus tadbir kerajaan yang lemah lagi menyeleweng.

Kerana itu, surat terbuka ini sama sekali tidak bermaksud menyentuh peribadi Tuanku SPB Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya berkaitan masalah kelemahan pentadbiran kerajaan. Saya mempunyai pandangan bahawa projek Istana Negara ini wajar dilaksanakan kerana istana sedia ada telah lama digunakan iaitu semenjak 50 tahun dahulu, bahkan sebelum itu ia menjadi kediaman seorang saudagar Cina, walaupun ada pihak yang mempersoalkan kewajaran istana baru ini. Bagi saya dengan kedudukan Tuanku SPB Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, Baginda patut mempunyai kediaman rasmi yang lebih baik. Lebih-lebih lagi untuk Perdana Menteri sendiri dibinakan sebuah ‘istana’ berharga mencecah RM1 billion di Putrajaya.

Pembinaan istana baru ini wajar sebagai simbol kedaulatan Raja Berperlembagaan. Pun begitu, saya mengemukakan surat mohon penjelasan kepada YB Dato’ Seri selaku Menteri Kerjaraya ini kerana saya dapati terdapat beberapa penyelewengan dalam perlaksanaan projek ini. Sama ada ia adalah salah laku YB Dato’ Seri sendiri atau persekongkolan antara Menteri Kerjaraya, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri itu belum saya pasti lagi. Yang jelas unsur penyelewengan, salah guna kuasa, kronisme dan salah laku telah berlaku dalam projek kendalian Kementerian Kerjaraya ini.

Atas asas ini saya merasakan bahawa YB Dato’ Seri patut dipertanggungjawabkan di atas semua penyelewengan ini sehingga seolah-olah YB Dato’ Seri telah melakukan sabotaj untuk mencemarkan nama baik Tuanku SPB Yang di-Pertuan Agong serta institusi Raja Berperlembagaan di negara ini. Atas kecuaian dan salah laku YB Dato’ Seri, projek yang sepatutnya menjadi simbol kedaulatan Raja Berperlembagaan bertukar menjadi simbol penindasan ke atas rakyat. YB Dato’ Seri mesti bertanggungjawab! Saya menimbulkan perkara penyelewengan dalam projek Istana Negara ini atas beberapa premis, antaranya:

  1. Mengapa projek ini dibuat secara runding terus?
  2. Mengapa runding terus ini berlaku secara luar biasa?
  3. Mengapa runding terus dengan harga tawaran kontraktor yang terlalu tinggi?
  4. Kenapa rundingan harga dipercepatkan?
  5. Kenapa runding terus ini diberi kepada kontraktor tidak berdaftar dan bukan kelas A?

i) Mengapa projek ini dibuat secara runding terus?

Isu pertama yang saya ingin timbulkan ialah mengapa YB Dato’ Seri dan YAB Menteri Kewangan melaksanakan projek ini secara runding terus serta reka dan bina? Apakah sebenarnya rasional terhadap runding terus dalam projek ini bagi Kementerian Kerjaraya? Adakah ia satu projek yang berprofil tinggi, menjadi rahsia atau melibatkan keselamatan negara yang yang disebut oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan di Dewan Negara baru-baru ini.

Benarkah begitu dan apakah wajar projek ini dibuat secara runding terus, sedangkan banyak lagi cara yang lebih baik dan sesuai boleh digunakan seperti rundingan terus secara konvensional. Bukankah biasanya Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyediakan segala komponen dan skop kerja yang diperlukan, kemudian kontraktor menawarkan harga yang sepatutnya atau kaedah selektif tender di mana kontraktor yang layak akan dikenal pasti sebelum dipanggil untuk menyertai tawaran harga tersebut. Mengapa kaedah ini tidak dipilih oleh YB Dato’ Seri dan YAB Menteri Kewangan?

Mengapakah YB Dato’ Seri tidak mempertahankan keperluan tugasan rutin JKR terhadap perlaksanaan projek dan membiarkan YAB Menteri Kewangan menawarkan projek ini secara runding terus? Adakah kaedah yang dibuat oleh YB Dato’ Seri dan YAB Menteri Kewangan boleh mendatangkan keuntungan yang lebih baik? Saya tidak menolak cara runding terus, tetapi ia mesti dilaksanakan secara yang telus, terbuka dan berintegriti demi kepentingan negara.

ii) Mengapa runding terus ini berlaku secara luar biasa?

Saya menolak dan tidak dapat menerima cara YB Dato’ Seri dan YAB Menteri Kewangan memberikan projek tersebut secara runding terus yang amat luar biasa kepada syarikat Maya Maju Sdn. Bhd. Walaupun YB Dato’ Seri dan YAB Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, tetapi biarlah ada pertimbangan yang sebaik mungkin demi memastikan dana rakyat tidak disalahgunakan.

YAB Menteri Kewangan menjaga wang rakyat, dan YB Dato’ Seri bertanggungjawab menggunakan wang rakyat untuk pembangunan negara secara berhemah dan telus. Tidakkah satu masa dahulu YAB Perdana Menteri ada menegaskan bahawa tidak akan ada lagi projek-projek besar yang dilaksanakan secara runding terus.

Mengapa YB Dato’ Seri dan YAB Menteri Kewangan tidak menghormati pendirian YAB Perdana Menteri ini. Adakah YB Dato’ Seri telah lupa kepada arahan YAB Perdana Menteri atau ada sesuatu ‘keperluan mendesak’ di sebalik projek ini?

iii) Mengapa runding terus dengan harga tawaran kontraktor yang terlalu tinggi?

Saya ingin melahirkan rasa hairan mengapakah YB Dato’ Seri dan YAB Menteri Kewangan menerima harga tawaran daripada Maya Maju Sdn. Bhd. Dengan harga yang begitu tinggi sehingga mencecah RM1.1 billion. Saya membantah keras kedangkalan YB Dato’ Seri dan YAB Menteri Kewangan dalam pembuatan keputusan ini.

Bukankah anggaran awal projek ini hanya sekitar RM400 juta sahaja, dan jika berlaku kenaikan kos tidaklah melebihi 100 peratus. Memang anggaran awal ini tidak menggambarkan ketepatan harga yang sebenar kerana pasti akan berlaku pengubahsuaian dan kenaikan kos kepada projek tersebut, tetapi apa yang ditawarkan oleh Maya Maju Sdn. Bhd. adalah amat luar biasa.

Yang lebih menghairan bagaimana YB Dato’ Seri boleh ‘diperbodohkan’ oleh Maya Maju Sdn. Bhd. seolah-olah YB Dato’ Seri tidak ada pengalaman dalam menilai projek-projek kerajaan. Bukankah YB Dato’ Seri telah menjadi Menteri Kerjaraya sudah lebih 20 tahun atau ini memang amalan YB Dato’ Seri dalam setiap projek kerajaan?

Apakah sebenarnya kaedah atau perubahan yang besar terhadap cadangan asal projek tersebut sehingga berlaku kenaikan yang melebihi 100 peratus ini. Saya boleh menerima jika kenaikan yang berlaku itu sekitar RM200 juta melebihi anggaran awal menjadikan kosnya sekitar RM600 juta. Tetapi kenaikan harga yang ditawarakan oleh kontraktor runding terus ini ialah RM700 juta mencecah RM1.1 billion seperti telah dimaklumkan kepada oleh sumber yang dipercayai. Harga ini telah melebihi pembinaan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang hanya bernilai RM200 juta, pembangunan Fakulti Perubatan UiTM hanya RM150 juta, Institut Kemahiran Belia Negara hanya RM40 juta sebuah serta hospital Alor Setar, Pekan, Sungai Petani yang tidak mencecah setengah billion sebuah walaupun semua institusi ini untuk kepentingan seluruh rakyat. Saya bimbang jika kemungkinan ada kos-kos lebihan yang ditambahkan kepada harga sebenar projek tersebut atau dalam kata lain berlaku salah guna dan penyelewengan dana rakyat untuk kepentingan pihak-pihak tertentu melalui persengkokolan dengan YB Dato’ Seri dan YAB Menteri Kewangan.

Janganlah dana rakyat yang begitu besar ini disalahgunakan untuk dijadikan dana politik mana-mana pihak, khususnya menjelang pilihan raya umum ini. Atau ia bertujuan untuk mengkayakan kroni atau kawan lama YAB Menteri Kewangan. Jika hal ini berlaku, amat malang bagi rakyat dan juga institusi Raja Berperlembagaan. YB Dato’ Seri mesti bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan jika benar dakwaan YAB Menteri Kewangan meluluskan projek ini untuk membesarkan tembolok kawan lamanya kerana YB Dato’ Seri selaku menteri pelaksana patut memastikan ketelusan projek ini. Jika berlaku penyelewengan, bermakna YB Dato’ Seri secara sedar dan sengaja membiar YAB Menteri Kewangan melakukan penyelewengan.

iv) Kenapa rundingan harga dipercepatkan?

Saya juga tertanya-tanya kepada rundingan harga projek istana ini tiba-tiba dipercepatkan kepada 6 Julai 2007 yang lalu, sedangkan pihak JKR belum selesai membuat semakan dan penelitian terhadap cadangan tersebut. Bukankah JKR perlu membuat semakan dan penelitian dahulu terhadap cadangan dan tawaran itu sebelum runding harga dibuat. Amat aneh sekali apabila satu projek kerajaan yang berharga lebih RM1 billion dibuat secara tergesa-gesa dan JKR tidak diberikan masa yang cukup untuk membuat penelitian.

Adakah YB Dato’ Seri tidak bersuara dalam perkara ini atau turut bersekongkol mengenepikan peranan JKR untuk membuat kajian. Atau YB Dato’ Seri telah mengarahkan supaya JKR tidak perlu membuat penelitian yang teliti, sekadar sepintas lalu sahaja untuk membolehkan runding harga ini dipercepatkan.

Saya bimbang jika ada menteri lain atau YB Dato’ Seri sendiri yang mendesak supaya projek ini dipercepatkan dan dilaksanakan dengan harga yang begitu luar biasa, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum ini di mana dana politik mesti dipenuhkan. Saya tidak pasti mengapa ia amat-amat perlu disegerakan sehingga penyemakan dan penelitian yang serius tidak sempat dibuat oleh JKR. Adakah projek istana ini sangat perlu disegerakan sehingga ia tergesa-gesa dipercepatkan tidak seperti lazimnya.

v) Kenapa runding terus diberi kepada kontraktor tidak berdaftar dan bukan kelas A?

Satu penyelewengan yang paling nyata dalam projek ini ialah pemberian projek Istana Negara kepada sebuah syarikat yang tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.

Maya Maju Sdn. Bhd. adalah syarikat yang tidak didaftarkan dengan Pusat Khidmat Kontraktor, sekali gus bermakna syarikat tersebut bukan syarikat bertaraf kelas A dan bukan bumiputera. Setahu saya semua syarikat yang dibenarkan menjalankan projek kerajaan dalam bidak kontraktor binaan mestilah berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor dan bertaraf bumiputera. Saya mempersoalkan mengapa syarat ini tidak terpakai dalam projek ini, khususnya ke atas Maya Maju Sdn. Bhd. Jika Maya Maju Sdn. Bhd. boleh melanggar syarat ini secara wewenang seperti ini semata-mata kerana ia adalah kroni YB Dato’ Seri atau YAB Menteri Kewangan atau kedua-duanya, maka ini bermakna Maya Maju Sdn. Bhd. lebih berkuasa berbanding institusi kerajaan termasuk Perbendaharaan dan juga JKR yang terletak dalam bidang kuasa YB Dato’ Seri. Maya Maju Sdn. Bhd. juga lebih berkuasa daripada institusi yang ditugaskan untuk mengawal selia syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan tersebut. Atau mungkin syarikat ini telah diberikan taraf bumiputera dan kelas A oleh Pusat Khidmat Kontraktor secara segera dan luar biasa, mungkin menggunakan pengaruh YB Dato’ Seri atau YAB Menteri Kewangan atau kedua-duanya. Setahu saya, untuk mendapatkan taraf kelas A dan bumiputera, kontraktor memerlukan masa yang lama bahkan berbulan-bulan untuk diproses dan diluluskan selepas pelbagai faktor diambil kira seperti kelayakan dan keupayaan syarikat.

Jika tiba-tiba sebuah syarikat kroni diberikan kelulusan segera, bermakna kerajaan telah menindas syarikat lain yang telah lama memohon tetapi tidak diluluskan. Sebelum ini, GPMS yang dipimpin oleh Setiausaha Politik YAB Menteri Kewangan, Datuk Rezal Merican diberikan projek Politeknik Banting, sedangkan GPMS tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor. Adakah syarat untuk memohon projek kerajaan sudah diubah, atau YB Dato’ Seri dan menteri-menteri lain sengaja melakukan penyelewengan untuk kepentingan peribadi dan kroni.

Aneh sekali apabila kontraktor bukan kroni yang lain terpaksa menghabiskan wang membeli dokumen tender, tetapi tidak mendapat projek sehingga menyebabkan syarikat mereka mati, sedangkan kontraktor yang tidak layak diberikan projek semata-mata kerana mereka ada kawan lama atau kroni YB Dato’ Seri atau YAB Menteri Kewangan atau menteri yang lain.

Daripada beberapa perkara di atas, amat jelas sekali bahawa unsur-unsur penyelewengan, salah guna kuasa, salah laku dan kronisme telah wujud dalam perlaksanaan projek Istana Negara. Perkara ini amat memalukan bukan ia bukan sahaja menipu rakyat, tetapi juga Tuanku SPB Yang di-Pertuan Agong.

Saya mendesak supaya YB Dato’ Seri membuat penjelasan tentang perkara yang saya timbulkan ini.
Sekian, terima kasih.

Yang benar,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS Pusat
Bekas Ahli Parlimen Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: