Pemuda PAS Johor Prihatin Kepada Masyarakat India

Oleh Nazman Ibrahim

 Pagi 20 November 2007, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi bersama-sama dengan kaum India di Johor ini. Kali ini, kami bersama-sama dengan rakyat khusus untuk memperjuangkan hak semua kaum dalam bidang pendidikan.

Seramai 300 orang rakan-rakan kaum India turun berdemonstrasi di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor untuk meminta kerajaan lebih prihatin kepada kebajikan sekolah-sekolah Tamil yang ada di negeri ini. Maklumat yang saya perolehi daripada Saudara Poopathy, penggerak kepada Semparuthi Thorlagal (Persahabatan Bunga Raya), bilangan sekolah Tamil yang ‘hidup segan mati tidak mahu’ di Johor ini ialah sekitar 70 buah sahaja.


Kesemuanya berada dalam keadaan yang amat dhaif. Kerajaan BN yang juga di dalamnya terdapat MIC sebagai parti komponen utama yang mewakili kaum India, kelihatan secara terang-terang melayan sekolah Tamil ini seakan-akan anak tiri di dalam pendidikan negara.

Saya hampir menitiskan air mata apabila seorang guru yang mengajar di salah sebuah sekolah Tamil di Kangkar Pulai menceritakan permasalahan mereka. Kata beliau, mereka tidak kecukupan kelas dan bangunan sehingga terpaksa ‘menumpang’ salah sebuah sekolah kebangsaan yang berdekatan.

Dan, tambah menyedihkan ialah diskriminasi yang dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah itu kepada pelajar dan guru mereka. Para pelajar sekolah mereka, yang ‘menumpang’ kelas di sekolah itu tidak dibenarkan untuk masuk ke sekolah menggunakan pintu pagar yang sama dengan pelajar sekolah kebangsaan tersebut. Malahan, guru-guru juga diminta untuk menggunakan pintu pagar belakang untuk memasuki sekolah itu! Daripada segi kemudahan dan infrastruktur sekolah pula, mereka tidak dibenarkan untuk berkongsi makmal komputer dan yang lain-lainnya sehingga menyebabkan ramai anak-anak murid yang agak ketinggalan dalam teknologi terkini.Sedih, memang sedih. Mengapa masih ada sikap pesimis antara kita di Malaysia ini walaupun sudah 50 tahun merdeka?

Sewaktu saya diminta berucap dalam himpunan ini bagi mewakili kaum Melayu, saya menyebut bahawa kerajaan sememangnya bersikap tidak adil dalam bidang pendidikan. Bukan sahaja sekolah Tamil dan Cina yang menjadi mangsa, malahan sekolah agama rakyat juga telah lama di’anak tiri’kan oleh kerajaan.Saya juga menyebut bahawa Islam mengajar kita untuk saling hormat-menghormati dan menghargai semua manusia. Tuhan telah menjadikan kita semua dalam bentuk pelbagai bangsa dan memiliki bahasa yang cukup unik serta berlainan. Maka, menjadi tanggungjawab sesama kita untuk saling menghormati dan menghargai setiap insan. Kita juga perlu memelihara pendidikan dalam bahasa ibunda kita.

Islam adil kepada semua kaum tidak kira apa ras dan bangsa serta agama mereka. Saya menyebut Dato’ Ng Yen Yen yang sekarang ini menjadi Timbalan Menteri Kewangan dan mewakili BN sebagai contoh terbaik akan keadilan pemerintahan Islam. Ng Yen Yen pernah menerima biasiswa daripada Kerajaan PAS Kelantan sewaktu era pemerintahan Dato’ Asri dahulu. Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah milik semua mengikut pandangan pemerintahan Islam. Ucapan saya disambut dengan tepukan gemuruh mereka.

Akhirnya, saya meminta agar mereka semua meneruskan perjuangan sehingga hak dan tuntutan mereka didengari oleh pihak berwajib. Hidup hidup, hidup rakyat!

Pemuda PAS Johor Bahru, Saudara Zaaba dan adiknya Razak juga turut hadir memberikan sokongan.

Bersama Saudara Nyam, Koordinator SUARAM Johor Bahru yang turut hadir memberikan kerjasama dan semangat. Kami juga menghadiahkan ‘maruku perpaduan’ kepada Suaram sempena Deepavali ini. Beberapa paket besar maruku juga dihadiahkan kepada Semparuthi Thorlagal.

Nazman Ibrahim
Pengerusi
Lujnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.

** Berikut merupakan sedikit petikan yang saya ambil daripada memorandum sahabat-sahabat kita ini. Bagi mereka yang berminat untuk memperolehi kandungan penuh memorandum mereka, termasuklah data-data dan statistik, boleh hubungi saya secara terus.

……………………………………………………………………………………….

PENGENALAN

Kami, masyarakat Malaysia, khususnya Negeri Johor, ditadbir oleh Perlembagaan Persekutuan dan dibimbing oleh Rukun Negara adalah warganegara berdaulat negara ini. Perlembagaan Persekutuan mengurniakan hak-hak kepada warganegara, di samping menggalak dan melindung hak-hak kesemua rakyatnya. Ini termasuk hak-hak untuk berhasrat, memperolehi, hidup, menikmati, mengamalkan, berdialog, memaju, menggalak, melindung, mempertahan dan menunaikan sebarang agenda yang menggalakkan cita-cita individu, komuniti dan kebangsaan. Hak-hak ini adalah bersesuaian kepada semua rakyat untuk hidup dengan aman dan damai bermaruah dan mewah.

Kami, mewakili mereka daripada semua lapisan masyarakat di Johor, percaya bahawa Kerajaan Malaysia, khususnya Kerajaan Negeri Johor mempunyai kewajiban yang penting untuk melindungi dan menggalakkan hak-hak sah rakyatnya.

1. Kedudukan Sah Kami

Kami mengambil perhatian yang berikut:

1.1 Memandangkan semua rakyat adalah sama di sisi undang-undang dan berhak menerima layanan dan perlindungan undang-undang menurut Artikel 8 dalam Perlembagaan Persekutuan.

1.2 Memperingatkan bahawa hak pendidikan adalah asasi and hak perlembagaan, dijamin oleh Artikel 12 Perlembagaan Persekutuan.

1.3 Mengulangi bahawa Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pemeliharaan, mempertahan, mengajar dan membelajar lain-lain bahasa ibunda.

1.4 Mengenali selanjutnya hak pendidikan sebagai hak asasi timbul dari ketidakboleh menepikan pendidikan kepada pemeliharaan dan peninggian sifat semula jadi maruah manusia sebagaimana dijamin oleh Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.

1.5 Meletakkan kegiatan pendidikan bahasa ibunda ini dalam anggapan satu Masyarakat Kasih sebagaimana dicadangkan dalam dokumen Wawasan 2020.

1.6 Memandangkan pengesahan Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Kanakkanak.

[Artikel 29(1) (a) : Pendidikan kanak – kanak akan diarahkankan kepada pembangunan watak diri, bakat, dan kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak itu hingga ke potensi tertinggi.” Dibaca sekali dengan hasil penyelidikan bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda memajukan potensi tertinggi semasa tempoh pembentukan.]

1.7 Memandangkan selanjutnya bahawa pendidikan dalam bahasa-bahasa ibunda diterima sedunia sebagai satu hak dalam suratcara antarabangsa berikut:-

2.1 Bantuan Penuh & Bantuan Modal

Daripada 70 buah sekolah-sekolah Tamil, 56 buah (80%) dikelaskan sebagai sekolah-sekolah bantuan modal. Sekolah-sekolah separa bantuan ini kekurangan infrastruktur dan peralatan asas seperti kerusi, meja, almari dan alat tulis tidak dibekalkan.

(LAMPIRAN 1)

2.2 Keadaan Bangunan Sekolah

Kebanyakan bangunan sekolah Tamil berada dalam keadaan usang. Masalah-masalah seperti bumbung yang bocor, siling yang uzur dan tidak selamat, tiang-tiang yang reput, lantai simen yang rosak menyebabkan kebanyakan sekolah-sekolah ini tidak sesuai untuk tujuannya dan adalah dianggapkan tidak sesuai berfungsi sebagai sekolah. Kebanyakan bangunan sekolah yang diperbuat daripada papan tidak setaraf dengan status sekolah pada zaman ini dan tidak selamat digunakan.

Masalah-masalah lain:-

I. Banjir kilat
II. Kelawar
III. Bangunan kayu yang dimakan anai-anai

2.3.1 Bilik darjah

Struktur binaan kelas tidak mengikut standard Kelas KBSR dan ia tidak sesuai digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat juga sekolah yang membahagikan satu bilik darjah dijadikan dua. Keadaan ini lebih ketara berlaku di sekolah-sekolah Tamil kerana kekurangan bilik darjah.

2.3.2 Sistem paritan

Selain daripada itu , keadaan sistem perparitan juga tidaklah begitu baik. Ini menyebabkan air hujan memasuki bilik-bilik darjah sewaktu hujan lebat dan kadang-kala sampah-sarap juga memasuki bilik-bilik darjah.

2.3.3 Sistem pendawaian elektrik & air

Pendawaian elektrik yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan menyebabkan kerap berlaku pintas elektrik. Ada juga sekolah yang tidak mempunyai sistem paip air yang menjadi keperluan asas manusia.

2.3.4 Kemudahan bilik air dan tandas

60% sekolah Tamil tidak mempunyai kemudahan bilik air dan tandas yang sesuai. Keadaan ini lebih ketara di sekolah-sekolah yang berada di kawasan ladang. Kadang-kala murid-murid terpaksa lari ke rumah apabila keadaan terdesak.

tuntutan lain;

3. BERI TUMPUAN YANG IKHLAS DAN ADIL TERHADAP SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL DI JOHOR

Memandangkan perkara-perkara di atas, kami dari Persatuan Ibubapa dan Guru serta pelbagai pertubuhan menyeru kepada pihak YB Menteri Besar Johor untuk merealisasikan sepuluh tuntutan kami di bawah:

1. Menggantikan semua sekolah Tamil yang separa bantuan (Bantuan Modal) agar dijadikan sekolah Bantuan Penuh kerajaan.

2. Serta-merta memperbaiki semula sekolah-sekolah Tamil yang usang dan menyediakan kemudahan-kemudahan asas yang patut ada seperti tandas, kantin, pusat sumber, padang, bilik guru, makmal Sains dan lain-lain.

3. Memastikan tenaga pengajar yang cukup serta memberi keutamaan kepada guru opsyen Bahasa Inggeris & Bahasa Melayu ke sekolah Tamil. Mengantikan guru pemulihan yang tidak fasih Bahasa Tamil dan diganti dengan guru terlatih khas pemulihan.

4. Mewujudkan pra-sekolah di sekolah-sekolah Tamil supaya kanak-kanak India memperolehi pendidikan awal sebelum masuk ke sekolah rendah.

5. Meningkatkan dan membina bangunan baru bagi sekolah-sekolah Tamil yang penuh murid serta sekolah-sekolah yang sedang menumpang di kawasan sekolah lain.

6. Mempercepatkan pembinaan bangunan baru bagi sekolah-sekolah yang telah lama mendapat tapak pembinaan.

7. Membina sekolah-sekolah Tamil baru di kawasan bandar dan kawasan perumahan baru yang menjadi tumpuan orang-orang Tamil memerlukannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: