Sejarah Bukan Sekadar Melihat – Teguran Untuk Mufti Perlis

Oleh Azizi Abdullah

aMengimbau sejarah memang baik. Tapi sejarah bukan saja untuk diimbau melainkan memetiknya lalu dijadikan iktibar. Iktibar tidak boleh diklasifikasi atas sebab status atau kedudukan. Apabila dikatakan iktibar, ia tidak sekadar imbauan dengan catatan nama dan fakta tetapi ia perlu menjadi asas teguran masa kini.

Jika di zaman sahabat, Mu`awiyah (sekadar sebutan contoh) dianggap melakukan hukuman dan tindakan melampau, ia bukan sekadar sebuah cerita menganggap Mu`awiyah melampau tetapi mereka yang melakukan seperti Mu`awiyah masa kini mesti juga dianggap melampau dan diperlukan tindakan. Dan sebutan bukan lagi ‘mereka’ tetapi mestilah A atau B.

Mahu menyalahi kesalahan Mu`awiyah mengikut cerita sejarah tentulah mustahil kita hendak menggali kubur Mu`awiyah untuk membuktikan batang tubuh itu salah. Tetapi jika yang melakukan seperti Maayiwah kini, ia bukan sejarah tetapi ia mengulangi sejarah seperti Mu`awiyah maka ia perlulah disebut siapa dan perlu dihukum.

Saya melihat tulisan Dr.Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Perlis di dalam MM muka 6, keluaran 28 Oktober 2007 sangat tidak adil, mempunyai unsur ketidakberanian menyatakan melalui imbauan sejarah, tidak berani berterus terang dan mempunyai agenda yang berat sebelah.

Saya melihat sejak akhir-akhir ini tulisan Sahibussamahah seakan membodek pihak tertentu dan menyalahkan pihak tertentu dari tiupan nafas politik yang disenangi dan tidak disenangi, dari roh politik yang terjamin dan tidak terjamin.

Jika atas niat ingin menyatakan ramai manusia yang teraniaya disebabkan berita palsu yang direka, kemudian memberitahu penderitaan atau kezaliman, cerita bohong, penyelewengan fakta melalui imbauan sejarah Nabi Isa, sesungguhnya malang fakta dan hujjah ini bukan saja diketahui umum tetapi seakan nampak Sahibussamahah ingin menyatakan sesuatu yang terkini tetapi agak takut pernyataan itu melantun ke muka kembali.

Sepanjang setengah muka surat akhbar Mingguan Malaysia yang lebar itu, tidak ada satu contoh, sebutan kes, fakta, pembohongan, penyelewengan, kezaliman yang disebut berlaku masa kini, yang tentunya belum lagi menjadi pekasam sejarah. Sepatutnya inilah yang mesti disebut, diberi peringatan dengan hujah dan dalil Al-Qur`an serta hadis.

Misalnya penyelewengan hakikat Nabi Isa, penyelewengan tentang Saidina Ali sampai lahirnya fahaman Syiah, apakah relevannya kes beribu tahun itu sedangkan masa kini penyelewengan tentang konsep, dasar Islam termasuk penambah baik Hadhari yang masih dipertikai? Mengapa tidak ada sebutan dan ganjaran pembalasan terhadap si anu dan si dia yang melakukan penyelewengan itu.

Ini bukan kes CIA atau SB. Ini bukan sejarah tapi realiti.

Dinukilkan surah Al-Baqarah ayat 79, dipetik juga Al-Hujurat ayat 6 tentang dosa penyelewengan, pembohongan dalam sejarah yang lalu. Ayat 79 surah Al-Baqarah, ayat 6 surah Al-Hujurat sememangnya mempunyai sebab turunnya ketika itu, tetapi ayat-ayat ini relevan, menjadi peringatan, panduan hingga akhir zaman. Tulisan Sahibussamahah hanya menyebut permulaan para nabi, sahabat sedang ayat tersebut boleh diguna pakai, bagaimana penyelewengan wang negara, perbelanjaan yang tidak telus seperti yang dilaporkan oleh Audit Negara. Kenapa tidak disebut langsung?

Kenapa tidak menyebut kementerian itu, jabatan ini dan anu-anu yang bertanggung jawab dalam sesuatu jabatan atau kementerian tersebut?

Kenapa pula mesti disebut Syiah zaman lampau sehingga memetik kata-kata Al-Ghazali sedangkan pakar-pakar ekonomi kita, ulama, agamawan sudah membongkar tentang berlaku tidak telusnya golongan tersebut. Apakah dengan menyebut Al-Ghazali, kita seperti tidak ada apa-apa yang berlaku?

Al-Ghazali dan imam-imam yang empat menulis dan menegur pemerintah atau khalifah di waktu itu dengan menyebut si polan – si polan, penguasanya tetapi kita tidak pernah menyebutnya. Kita hanya mengimbau sejarah dan memberi gambaran sejarah ribuan tahun yang lalu sedangkan di depan mata kita, kita tidak berani. Bukankah Al-Ghazali telah menegur Sultan Sanjar anak Raja Seljuk Gavenor Wilayah Khurasan di dalam satu majlis, di hadapan pengiringnya?

Ghazali juga menulis kepada seorang menteri, Fakhrul Mulk, Mujiruddin. Ghazali tidak menulis mengesahkan sejarah. Ghazali menghala tulisannya kepada individu.

Tapi malangnya tulisan seorang yang berkedudukan tinggi, yang tulisan tersebut mempunyai nilai yang tinggi, yang mempunyai kesan yang kuat, tidak mampu dilakukan seperti sejarah yang diceritakan.

Di zaman pemerintahan Dr. Mahathir selama 21 tahun bukan tidak ada penyelewengan, korup dan kezaliman dan bukan kita tidak tahu siapa yang telah ditentukan oleh pengadilan, mengapa kita ‘sereyau’ hendak menyebutnya?

Para sahabat, ulama, para imam-imam sering menegur dan menulis surat secara peribadi dan mengkritik secara terbuka tetapi kita masih juga memetik kisah sejarah ribuan tahun. Masalah pembunuhan beramai-ramai tahun 1985 di Mamali memerlukan orang-orang seperti Sahibussamahah mengkritik, menegur, kerana ia melibatkan umat Islam, tetapi kita tidak pernah membaca buah fikirnya. Penutupan sekolah agama, juga tidak pernah cuba memberi pandangan.

Kita tidak mendesak para Sahibussamahah seperti Mufti Kerajaan Perlis membuat hukuman di atas peristiwa yang berlaku. Tapi sebagai agamawan yang berstatus, kita ingin mendengar sesuatu; sama ada benar atau salah perkara tersebut. Tidak pernah ada sepucuk surat dari kalangan Sahibussamahah menulis kepada Perdana Menteri, baik kepada Dr. Mahathir atau sekarang menyatakan itu tidak betul, ini tidak betul berdasarkan surah dan ayat Al-Qur`an, seperti Al-Ghazali menulis kepada Sultan Sanjar., sedangkan kebobrokan dan penyelewengan berlaku berbilion-bilion.

Ini bukan soal politik. Al-Ghazali pernah menulis minta rakyat menjauhi pemerintah yang zalim, yang tidak adil. Tetapi kita, walaupun kezaliman dan tidak adil berlaku di depan mata, kita tidak pernah menulis seperti Al-Ghazali.

Dalam tulisan itu juga Sahibussamahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis menulis tentang kebohongan di zaman Harun Aminurrashid. Tapi sayang sekali beliau tidak menyentuh langsung bagaimana saksi-saksi bohong bersepah-sepah dalam perbicaraan zaman kita, terutama di zaman pemerintahan Dr. Mahathir. Apa ertinya imbauan sejarah kalau realitinya kita membisu?

Lupakah kita bagaimana pendakwaan dan saksi mengubah tarikh-tarikh, saksi-saksi fasik, tuduhan liwat dan zina tanpa ada saksi syarak. Mengapa tidak disebut sedangkan imbauan sejarah disebut panjang lebar. Apakah saksi dan tuduhan di abad ini tidak ada nilai buruk seperti yang berlaku di zaman Aminurrashid? Apakah sesuai disebut imbauan sejarah sahaja?

Memang benar apa saja yang berlaku kini dilihat sebagai isu politik. Mungkin para mufti dan ulama, cerdik pandai tidak mahu mencampuri politik. Tetapi apakah kita mesti memejam mata tentang ketidak adilan, kezaliman, penyelewengan dalam politik? Apakah kezaliman, ketidak adilan, penyelewengan dalam politik menghalal cara, termasuk soal hukum agama?

Apa relevannya kisah kaki buli di zaman Abu Nawas ratusan tahun yang lampau sedangkan kaki belit dan penipun, penyelewengan sekarang ini berlambak-lambak? Jika kebenaran itu perlu dinyatakan mengikut persepsi agama, kenapa mesti dilindungi sebutan si A dengan sikap belitanya sehingga berjuta-juta. Di dalam Umno berlambak-lambak kaki belit, penipu. Di dalam kementerian juga ramai. Di dalam jabatan juga ramai, malah dalam urusan pembinaan masjid juga ramai.

Kenapa mesti disebut tentang dendam dan kebencian Yazid bin Muawiyah ratusan tahun yang lalu, sedangkan dendam dan benci yang berlaku di tahun 2000-2007 seperti tidak ada sebutir dosapun dilakukan oleh orang-orang seperti Yazid? Apakah tidak ada Yazid bin Muawiyah sekarang, seperti tidak adanya Abu Lahab sekarang?

Kenapa memetik ‘kod’ Ibn Taimiyah bagaimana tidak adilnya hakim-hakim ketika itu, sedangkan hakim-hakim yang tidak adil, hakim diperlekeh, hakim boleh dibeli tidak disebut masa kini.

Kenapa kita berkata pembunuhan Hussain bin Ali tidak ada bukti keterlibatannya sedangkan berapai ramai yang tidak terlibat dengan jenayah dan rusuhan merengkuk di dalam penjara hingga kini?

Saya secara peribadi tidak menafikan ilmu dan sejarah untuk dijadikan pengajaran sepanjang zaman. Tapi dengan hanya menyebut sejarah kemudian kita memejam mata apa yang berlaku sekarang, ia tidak membawa apa-apa makna.

Ulama, agamawan, apa lagi yang berkedudukan tinggi tidak sekadar memiliki ilmu tetapi kita memerlukan juga keberanian. Keberanianlah yang tidak ada kepada ulama dan agamawan sekarang. Sepanjang penulisan ulama, agamawan ataupun ceramah, kuliah, yang disebut hanyalah sejarah bukan realiti.

Dr. Mahathir yang melakukan kesalahan banyak perkara yang bersangkutan dengan agama, apabila ada golongan yang mengkritik, mereka dianggap ‘pembangkang’. Mana dia golongan yang berkedudukan tinggi dalam institusi agama, para mufti melainkan hanya seorang dua yang sanggup dipecat. Jika begitu keadaan, apa perlunya mengimbau sejarah?

Oleh yang demikian, bagi saya mengimbau sejarah tentang dosa penyelewengan, kezaliman dengan hujah Al-Qur`an dan fakta tidak membawa apa-apa faedah, melainkan untuk melengkap sebuah tesis kesarjanaan. Akan tetapi jika kritikan, teguran berdasarkan seperti apa yang berlaku dalam sejarah kemudian diikuti apa yang berlaku kini secara ‘khusus’ adalah lebih bermakna. Yang berlaku sekarang umum, bukan khusus. Disebut kezaliman tapi tidak disebut siapa yang melakukannya. Di sebut tidak adil tapi tidak disebut siapa. Disebut dosa penyelewengan, walaupun Laporan Audit Negara menyatakan berlaku, tapi tak siapa berani menyebut sebagai contoh.

Apabila kes di bawa ke mahkamah, disebut pula biarlah mahkamah yang menentukan. Tetapi apabila didapati bersalah, sepi semuanya. Tidak pun di sebut si A sama sejarahnya dengan Yazid bin Muawiyah yang memiliki sifat benci dan dendam.

Kita hanya berani menyebut, ‘sesetengah pihak, di antara mereka, mereka yang melakukannya.’ Tidak ada yang berani menyebut si A atau si B. Para ulama, agamawan, mufti, cerdik pandai yang mengimbau hal-hal sejarah buruk tidak berani membuat penilaian masa sekarang, sedangkan dalam soal ibadah merekalah yang selalu membuat penilaian dan perbandingan; misalnya solat berjemaah 37 kali pahala dari solat seorang diri.

Sampai bila kita hendak jadi berani? Memetik kata-kata Dr Sidek Fadil di Perhimpunan NGO Islam di Kelantan baru-baru ini; Kita tidak ada ‘jantan’ lagi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: