RM 1 Juta Kepada Wanita BN Selangor: Siasat Segera Khir Toyo!

Oleh parc_arm

Oleh Mohd Sany Hamzan

 SHAH ALAM 19 November –
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) segera menyiasat Kerajaan Negeri Selangor dan Barisan Nasional Selangor dibawah pimpinan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mengumumkan peruntukan RM 1 juta daripada kerajaan negeri kepada Jentera Pilihanraya Wanita Barisan Nasional Selangor sebagai persediaan menggerakkan jentera pilihanraya sempena menghadapi pilihanraya Umum yang akan datang.

Tindakan ini jelas merupakan penyalahgunaan wang kerajaan negeri yang secara jelas merupakan satu kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Dato Seri Khir perlu disiasat oleh BPR dan didakwa dibawah akta tersebut.

DPPNS ingin menegaskan bahawa wang kerajaan negeri merupakan wang daripada hasil kutipan cukai rakyat Selangor dan peruntukan-peruntukan daripada wang tersebut mestilah diberikan mengikut peraturan yang ditetapkan, seperti kepada projek-projek yang memberikan kepentingan kepada rakyat dan bukannya disalahgunakan kepada mana-mana parti politik termasuk parti pemerintah untuk menggerakkan jentera pilihanrayanya.

DPPNS menggesa Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Said bin Hamdan segera mengarahkan BPR Negeri Selangor memulakan siasatan terhadap Khir dan kepimpinan BN Negeri Selangor yang lain terhadap salah laku ini. DPPNS mengharapkan agar pihak BPR tidak bersikap pilih kasih terhadap kes-kes penyalahgunaan wang dan kuasa seperti oleh kepimpinan UMNO BN namun bertindak dengan begitu pantas dan cemerlang sekali apabila adanya dakwaan rasuah di media yang melibatkan kepimpinan pembangkang sepertimana yang berlaku kepada Menteri Besar Kelantan sebelum ini.

DPPNS juga begitu kesal dengan pihak BPR kerana tidak meneruskan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah yang melibatkan Khir Toyo seperti pernah dilaporkan kepada BPR oleh beberapa pihak ermasuklah Gerakan Anti Rasuah dan Korupsi (GERAK) dan beberapa individu sebelum ini.

DPPNS sekali lagi ingin menegaskan bahawa bidang kuasa BPR mesti diletakkan dibawah Yang Dipertuan Agong supaya BPR mempunyai kuasa penuh untuk mendakwa pemimpin-pemimpin tertinggi politik yang terlibat rasuah yang mana seringkali pendakwaan hanyalah melibatkan pegawai-pegawai kerajaan sementara pemimpin politik selalunya akan terlepas daripada pendakwaan dan mereka terus bebas melakukan jenayah tersebut.

DPPNS ingin mengingatkan Barisan Nasional Selangor bahawasanya wang kerajaan negeri adalah wang rakyat yang membayar cukai, termasuk juga wang mereka yang tidak menyokong Barisan Nasional. Rakyat tidak sanggup melihat wang mereka digunakan untuk membantu jentera parti yang tidak mereka sokong dan mengharamkan wang ini daripada digunakan oleh jentera BN.

Sebagai seorang yang beragama Islam, Khir perlu menginsafi bahawasanya perbuatan menyalahgunakan wang rakyat merupakan satu dosa dan kezaliman yang akan dihitung dihadapan Allah SWT kelak. DPPNS menyeru semua rakyat Selangor mendoakan balasan terhadap kezaliman ini dan menilai kembali sokongan mereka kepada Barisan Nasional dalam Pilihanraya yang akan datang.

Fil Islam,
Mohd Sany Hamzan
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Tinggalkan komen